Khamis, 14 Jun 2007
Tiga Rumah Sembelih Di Australia Dapat Kelulusan JAKIM
April 14, 2006 21:54 PM
KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Tiga rumah sembelih lembu di Australia mendapat status penyembelihan dan pemprosesan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkuatkuasa 6 April lalu setelah didapati memenuhi syarat kepastian kualiti dan keselamatan makanan.Pemangku Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) Datuk Mustapa Abd Jalil berkata ketiga-tiga rumah sembelih itu mampu memenuhi keperluan dan permintaan daging lembu Australia untuk pasaran tertentu dalam negara setelah import daging Australia dihentikan sejak 4 Jan lepas kerana status penyembelihan dan kehalalannya diragui."Purata keperluan daging lembu Australia (di Malaysia) hanyalah dalam lingkungan 6,000 ke 8,000 tan metrik setahun. Oleh itu tidak akan timbul masalah kekurangan bekalan daging dan organ bahagian dalam lembu Australia di dalam negara," katanya dalam satu kenyataan di sini.Tiga rumah sembelih itu ialah Stanbroke Beef Pty Ltd, Queensland; Tasman Group Services, Brooklyn, Victoria dan Novic Food Processing, Wodonga, Victoria.Beliau berkata produk keluaran rumah sembelih berkenaan yang diluluskan adalah karkas daging, keratan daging, organ bahagian dalam (hati, limpa, paru-paru, jantung) dan lemak yang boleh dimakan.Mustapa berkata pengimportan daging lembu, organ bahagian dalam dan lemak dari Australia telah dihentikan sebelum ini kerana tidak dapat mematuhi syarat Jakim berikutan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan tentang kaedah "stunning" yang diamalkan rumah sembelih di Australia tidak memenuhi syarat penyembelihan halal.Katanya kelulusan itu diberikan setelah pegawai JPH dan Jakim membuat lawatan ke negara itu bagi menyaksikan penyeliaan penyembelihan halal itu.Sementara itu, dua buah rumah sembelih lembu di Amerika Syarikat juga memenuhi syarat kepastian kualiti dan keselamatan makanan serta mendapat status penyembelihan dan pemprosesan halal Jakim berkuatkuasa 13 Feb lalu.Rumah sembelih itu ialah Strauss & Lamb, Franklin, Wisconsin dan J.F O'Neil Packing, Nebraska.Beliau berkata rumah sembelih itu mampu memenuhi keperluan dan permintaan daging lembu Amerika untuk pasaran tertentu dalam negara kerana purata keperluan daging lembu dari negara tersebut hanyalah dalam lingkungan 340 tan metrik setahun.Pengimportan daging halal dari Amerika dihentikan sejak 23 Dis lalu berikutan penyakit lembu gila yang berlaku di negara tersebut."Pengimportan daging dari negara itu yang dibenarkan ialah daging lembu tanpa tulang dengan tonsil dan distal ileum, otak dan saraf tunjang dibuang," katanya.-- BERNAMA